Monday 27 April 2015

Sifat Cahaya

Cahaya membolehkan kita melihat. Jasad berkilau seperti matahari, lampu, bintang, lilin dan televisyen memancarkan cahayanya ke dalam mata kita untuk dilihat secara langsung.

Objek yang tidak memancarkan cahaya sendiri pula dipanggil jasad tidak berkilau. Ia tiada cahayanya sendiri untuk dilihat secara langsung. Jasad seperti buku, gambar dan meja hanya dapat dilihat apabila ia memantulkan cahaya daripada sumber cahaya.

Sifat cahaya:
  • Cahaya merambat (bergerak)  dalam garis lurus. ( menyebabkan pembentukan bayang dan gerhana)
  • Laju cahaya ialah 300, 000 km s-1
  • Dipantulkan oleh permukaan kasar atau licin.
  • Boleh merambat melalui objek lutsinar.
  • diserap oleh objek legap.
  • Cahaya adalah gelombang elektromagnet dengan panjang gelombang 0.5 μm.
Sinar cahaya ialah arah atau lintasan yang dilalui oleh tenaga cahaya. Apabila melukis gambar rajah, sinar cahaya diwakili oleh garis lurus dengan anak panah.

Sekumpulan sinar-sinar cahaya dipanggil alur. Alur cahaya mungkin selari, menumpu atau mencapah.


Nota: Inersia

Inersia boleh ditakrifkan sebagai kecenderungan suatu objek untuk mengekalkan keadaan pegun atau gerakan seragam dalam garis lurus.

 Konsep inersia dirumuskan dalam Hukum Newton Pertama yang menyatakan bahawa sesuatu objek akan terus berada dalam keadaan pegun atau terus bergerak dengan halaju tetap pada satu garis lurus kecuali ditindakkan oleh suatu daya luar.

Inersia sesuatu objek hanya dipengaruhi oleh jisimnya sahaja. Semakin besar jisim suatu objek, semakin sukar untuk menggerakannya atau menghentikannya jika ia dalam keadaan bergerak. Contohnya sebuah basikal adalah lebih mudah ditolak dari keadaan rehatnya berbanding dengan sebuah kereta kerana jisim basikal itu lebih kecil dan oleh itu inersianya adalah sangat kecil dari jisim atau inersia kereta itu.

Contoh situasi melibatkan inersia:

 1. Dua tin yang serupa digantung dengan tali yang panjang. Tin A adalah kosong manakala tin B pula diisi dengan pasir. Tin B didapati adalah lebih sukar untuk digerakkan berbanding tin A apabila kedua-duanya ditolak. Tin B juga didapati berayun lebih lama sebelum berhenti dibandingkan dengan tin A. Ini menunjukkan bahawa semakin besar jisim suatu objek, semakin besar inersianya atau keupayaannya menentang perubahan.