Friday, 10 June 2016

Kegunaan Osiloskop Sinar Katod

Osiloskop Sinar Katod (OSK) ialah suatu alat pengukur dan alat penguji. Ia menukarkan isyarat elektrik dan elektronik kepada paparan visual. Skrin OSK dapat mempamerkan bentuk gelombang bunyi dan bentuk gelombang arus elektrik.

Kegunaan OSK :

1. Mengukur beza keupayaan (voltmeter).
2. Mengukur sela masa yang singkat.
3. Memaparkan bentuk gelombang.
4. Mengukur tempoh atau frekuensi.

Sunday, 15 May 2016

Kekenyalan

Kekenyalan boleh ditakrifkan sebagai keupayaan sesuatu bahan kembali ke bentuk asal selepas daya yang dikenakan dialihkan

Apabila satu daya dikenakan ke atas satu bahan, bahan itu mungkin akan mengalami pemanjangan atau pemampatan. Suatu bahan dikatakan kenyal jika dapat kembali ke bentuk dan saiz asal selepas daya yang dikenakan itu dilepaskan.

Sifat kekenyalan bahan pepejal disebabkan oleh kewujudan daya tolakan dan daya tarikan antara zarah-zarah. Pada keadaan biasa atom-atom bahan pepejal terpisah dengan jarak tertentu dan berada dalam keseimbangan  iaitu daya tolakan dan daya tarikan berada dalam keseimbangan. Pada keadaan ini daya paduan adalah sifar.

zarah dalam keseimbangan
Apabila bahan tersebut dikenakan daya mampatan, atom-atom bahan akan dirapatkan . Daya tolakan antara atom menjadi semakin kuat dan bertindak untuk mengembalikan kedudukan asal atom-atom selepas daya mampatan dialihkan.

zarah mengalami daya tolakan apabila daya mampatan dikenakan
Apabila bahan tersebut dikenakan daya regangan, atom-atom bahan akan dijauhkan. Daya tarikan antara atom menjadi semakin kuat dan bertindak untuk mengembalikan kedudukan asal atom-atom selepas daya regangan dialihkan.

zarah mengalami daya tarikan apabila daya regangan dikenakan
Beberapa contoh aplikasi kekenyalan:

Sistem ampaian (suspension) kenderaan

Buaian bayi

Gelang getah

Jam randik

Busur dan panah

Ammeter































Sifat kekenyalan bahan mempunyai kegunaan yang luas. Banyak perkakasan mekanikal memerlukan spring untuk beroperasi

Kegunaan spring:
  • Spring yang digunakan dalam neraca spring menghasilkan regangan yang berkadar langsung dengan beban yang dikenakan
  • Spring buaian menghasilkan ayunan yang membolehkan bayi tidur dengan lebih selesa
  • Spring pada roda kereta yang kuat dapat menyerap hentakan yang terhasil apabila bergerak di atas jalan yang tidak rata supaya perjalanan adalah lebih lancar.
  • Spring banyak digunakan dalam tilam dan kusyen. Spring yang mempunyai sifat kekenyalan dapat mengekalkan bentuk tilam dan kusyen walaupun telah banyak kali dimampatkan.
  • Spring juga digunakan dalam ammeter dan voltmeter untuk mengimbangkan daya putaran pada  jarum penunjuk apabila terdapat voltan dan arus. Spring dapat mengembalikan jarum penunjuk ke kedudukan asal apabila bekalan arus dan voltan diputuskan.
  • Dalam jam randik, tenaga keupayaan kenyal yang tersimpan akan ditukarkan kepada tenaga kinetik untuk menggerakan jarum penunjuk.

Bahan kenyal lain:
  • Gelang getah digunakan untuk mengapit dan menetapkan bahan pada kedudukan yang tertentu
  • Tali raket tenis dan badminton yang kenyal boleh melantunkan bola
  • Papan terjun yang kenyal membolehkan peserta mencapai lompatan yang tinggi.

Saturday, 14 May 2016

Ulang kaji soalan pilihan sebelum peperiksaan

Berikut adalah fail yang mengandungi soalan pilihan yang sempat saya compile. Saya sertakan skema pada setiap akhir soalan.

Muat turun di sini.


Pengubahsuaian sistem radar yang digunakan untuk menentukan kedudukan kapal terbang.


Pengubahsuaian
Alasan
Diameter piring parabola yang besar
dapat menerima lebih banyak isyarat
 Jarak penerima isyarat dari pusat piring parabola adalah sama dengan panjang fokus
 isyarat jauh yang bergerak mengikut garis selari akan dipantulkan dan difokuskan pada pada penerima isyarat
 Jenis gelombang digunakan ialah gelombang mikro
 frekuensi tinggi / tenaga yang tinggi/ panjang gelombang pendek maka mudah dipantulkan
 Kedudukan piring parabola harus tinggi dari permukaan bumi
 Isyarat tidak dihalang/ boleh dikesan dengan mudah.

tambahan:
  • cakera harus berbentuk parabola melengkung supaya isyarat dapat ditumpukan pada satu titik. 
  • Permukaan piring licin dan bersih , pantulan isyarat lebih jelas dan baik.
 Cadangan ulangkaji kertas 3:

Wednesday, 28 October 2015

Topik-topik Penting SPM Fizik 2015


TINGKATAN 4

1. Pengenalan kepada Fizik.
  • Pengukuran
    • Ammeter / Jisim.
    • Kejituan / Kepersisan / Pengiraan ralat.
2. Daya dan Gerakan.
  • Graf gerakan.
  • Momentum (Prinsip dan Roket).
  • Graviti - Jatuh bebas, lif dan takal.
  • Keseimbangan daya.
  • Kekenyalan (penting).
3. Daya dan Tekanan
  • Tekanan.
  • Tekanan gas dan tekanan atmosfera.
  • Prinsip Pascal.
  • Prinsip Bernoulli.
5. Cahaya
  • Pantulan Cahaya.
  • Pantulan dalam penuh (Gentian optik & Gambarajah sinar).
  • Kanta
    • Gambarajah sinar bagi kanta.
    • Teleskop / Kanta Pembesar.

TINGKATAN 5

6. Gelombang.
  • Gelombang - jenis dan ciri-ciri gelombang
  • Pantulan gelombang.
  • Interferens gelombang (Eksperimen dwicelah Young).
  • Gelombang Elektromagnet.
  • Gelombang dalam telekomunikasi.
7. Elektrik
  • Medan elektrik.
  • Litar sesiri dan selari.
  • Daya gerak elektrik dan rintangan dalam.
8. Keelektromagnetan.
  • Kesan magnet pada konduktor pembawa arus. (Aplikasi : Pemutus litar, penggera kebakaran)
  • Aruhan Elektromagnet. /Hukum Lenz dan Hukum Faraday - Penjana Arus Ulang-alik.
  • Transformer (penting, termasuk Kertas 3) Bilangan lilitan vs. voltan output.
  • Penjanaan dan Penghantaran Elektrik.
9. Elektronik 
  • Sinar Katod. /Osiloskop sinar katod.
  • Diod Semikonduktor.
  • Transistor./ Litar Perintanga Peka Cahaya.
  • Get Logik
10. Keradioaktifan.
  • Reputan Radioaktif. (Ciri-ciri alfa, beta dan gama)
  • Tindakbalas Nuklear & Pengiraan tenaga. E=mc2 
  • Aplikasi radioaktif - Perubatan / Ketebalan kertas.


Tuesday, 19 May 2015

Ketumpatan

Ketumpatan sesuatu bahan ditakrifkan sebagai jisim per unit isipadu bahan itu.

\begin{align} Ketumpatan, \rho &= \frac {Jisim}{Isipadu} \end{align}
Unit S.I bagi ketumpatan ialah kg m-3. Biasanya unit g cm-3 juga digunakan. \begin{align} 1\ g\ cm^{-3} &= 1000\ kg\ m^{-3} \\ &= 10^{3}\ kg\ m^{-3} \end{align}

Alat untuk mengukur ketumpatan cecair ialah hidrometer.

 Ketumpatan juga merupakan suatu sukatan kepadatan zarah dalam jirim. Ketumpatan suatu bahan adalah malar pada keadaan-keadaan tertentu dan pada suhu malar.

Ketumpatan suatu bahan bergantung kepada :
  1. Jisim molekulnya: Jisim molekul bahan lebih tinggi, ketumpatannya lebih tinggi.
  2. Kepadatan susunan molekul: Gabus mempunyai molekul yang kurang padat daripada kayu,  maka ketumpatan gabus kurang daripada kayu.
  3. Keadaan bahan: Ketumpatan gas adalah lebih kecil daripada ketumpatan cecair dan pepejal suatu bahan.
Suatu pepejal yang mempunyai ketumpatan yang lebih kecil daripada ketumpatan suatu cecair akan terapung di atas permukaan cecair itu.
Manakala pepejal yang mempunyai ketumpatan lebih besar daripada ketumpatan suatu cecair akan tenggelam ke dalam cecair itu.


Monday, 27 April 2015

Sifat Cahaya

Cahaya membolehkan kita melihat. Jasad berkilau seperti matahari, lampu, bintang, lilin dan televisyen memancarkan cahayanya ke dalam mata kita untuk dilihat secara langsung.

Objek yang tidak memancarkan cahaya sendiri pula dipanggil jasad tidak berkilau. Ia tiada cahayanya sendiri untuk dilihat secara langsung. Jasad seperti buku, gambar dan meja hanya dapat dilihat apabila ia memantulkan cahaya daripada sumber cahaya.

Sifat cahaya:
  • Cahaya merambat (bergerak)  dalam garis lurus. ( menyebabkan pembentukan bayang dan gerhana)
  • Laju cahaya ialah 300, 000 km s-1
  • Dipantulkan oleh permukaan kasar atau licin.
  • Boleh merambat melalui objek lutsinar.
  • diserap oleh objek legap.
  • Cahaya adalah gelombang elektromagnet dengan panjang gelombang 0.5 μm.
Sinar cahaya ialah arah atau lintasan yang dilalui oleh tenaga cahaya. Apabila melukis gambar rajah, sinar cahaya diwakili oleh garis lurus dengan anak panah.

Sekumpulan sinar-sinar cahaya dipanggil alur. Alur cahaya mungkin selari, menumpu atau mencapah.


Nota: Inersia

Inersia boleh ditakrifkan sebagai kecenderungan suatu objek untuk mengekalkan keadaan pegun atau gerakan seragam dalam garis lurus.

 Konsep inersia dirumuskan dalam Hukum Newton Pertama yang menyatakan bahawa sesuatu objek akan terus berada dalam keadaan pegun atau terus bergerak dengan halaju tetap pada satu garis lurus kecuali ditindakkan oleh suatu daya luar.

Inersia sesuatu objek hanya dipengaruhi oleh jisimnya sahaja. Semakin besar jisim suatu objek, semakin sukar untuk menggerakannya atau menghentikannya jika ia dalam keadaan bergerak. Contohnya sebuah basikal adalah lebih mudah ditolak dari keadaan rehatnya berbanding dengan sebuah kereta kerana jisim basikal itu lebih kecil dan oleh itu inersianya adalah sangat kecil dari jisim atau inersia kereta itu.

Contoh situasi melibatkan inersia:

 1. Dua tin yang serupa digantung dengan tali yang panjang. Tin A adalah kosong manakala tin B pula diisi dengan pasir. Tin B didapati adalah lebih sukar untuk digerakkan berbanding tin A apabila kedua-duanya ditolak. Tin B juga didapati berayun lebih lama sebelum berhenti dibandingkan dengan tin A. Ini menunjukkan bahawa semakin besar jisim suatu objek, semakin besar inersianya atau keupayaannya menentang perubahan.