Sunday, 28 July 2013

Nota: Muatan Haba Tentu

MUATAN HABA

Muatan haba suatu bahan adalah kuantiti haba yang diperlukan untuk menaikkan suhu bahan itu sebanyak 1 °C.

Muatan haba diukur dalam joule per darjah Celcius. (J°C-1)

Muatan haba sesuatu bahan bergantung kepada
(a) Jenis bahan
(b) Jisim bahan
(c) Kuantiti haba yang dibekalkan.

 

MUATAN HABA TENTU

Muatan haba tentu suatu bahan ditakrifkan sebagai kuantiti haba yang diperlukan untuk menaikkan suhu 1 kg bahan sebanyak 1°C.

Unit bagi muatan haba tentu ialah joule per kilogram per darjah Celcius (J kg-1 °C-1)

Simbol untuk muatan haba tentu adalah c.

Kuantiti haba Q yang diterima atau hilang apabila bahan berjisim m mengalami perubahan sebanyak θ .Rumus muatan haba tentu adalah seperti berikut:

Q=mc θ

Muatan haba dan muatan haba tentu adalah dua kuantiti yang berbeza. Perkataan ‘tentu’ digunakan dalam fizik apabila kita merujuk kepada kuantiti unit bagi kuantiti fizik.

Kenyataan ‘muatan haba tentu air = 4200 J kg-1 °C-1 ‘ bermaksud 4200 J tenaga haba diperlukan untuk menaikkan suhu satu kilogram air sebanyak 1 °C.

AIR SEBAGAI BAHAN PENYEJUK.

Air mempunyai muatan haba tentu yang amat tinggi . Ini membolehkan air menyerap banyak tenaga haba dengan kenaikan suhu yang kecil.

Oleh kerana air boleh menyerap banyak haba, ia amat sesuai digunakan dalam sistem penyejukan kenderaan bermotor seperti kereta dan lori.

Air yang dialirkan mengelilingi silinder akan menyerap haba darinya.

Air panas itu kemudiannya disejukkan apabila ia dialirkan melalui tiub-tiub logam yang bersirip dalam radiator.

Penyejukkan dibantu oleh udara yang disedut masuk dari luar oleh kipas radiator.

Cecair khas dengan muatan haba tentu yang amat tinggi digunakan sebagai penyejuk dalam industri logam untuk menyejukkan dan melincirkan alat bagi mendapatkan pemotongan yang baik dan tahan lama.

 

AIR SEBAGAI AGEN PEMANAS.

Oleh kerana air dapat menyimpan jumlah haba yang besar, ia juga boleh digunakan sebagai agen pemanas di negara bermusim sejuk.

Semasa musim sejuk, air dari tangki air panas dialirkan melalui paip-paip air dalam radiator yang dipasang dalam rumah.

Haba yang dikeluarkan dari radiator boleh membantu untuk memanaskan udara di dalam rumah sehingga ke paras yang selesa.

Air yang sejuk dialir semula ke tangki air panas untuk dipanaskan.

 

PENGGUNAAN LOGAM SEBAGAI PERALATAN MEMASAK.

Peralatan memasak biasanya diperbuat dari logam kerana logam mempunyai muatan haba tentu yang rendah. Muatan haba tentu yang rendah bagi logam membolehkan suhunya meningkat dengan mudah apabila dipanaskan.

Logam yang biasa digunakan untuk membuat peralatan memasak ialah aluminium, tembaga dan keluli tahan karat. Logam-logam tersebut adalah sesuai digunakan kerana ia tidak bertoksik dan tidak berkarat.

No comments:

Post a Comment