Tuesday 16 April 2013

Nota: Tekanan Dalam Cecair


Suatu cecair yang berada dalam bekas mempunyai berat. Ini menyebabkan tekanan pada dinding bekas dan tekanan ke atas sebarang objek dalam cecair.
Tekanan dalam cecair bertindak dalam semua arah dan bertambah dengan kedalaman.

Tekanan, \(P = h\rho g\)
Dimana \(h\) = kedalaman cecair(m), \(\rho\) =ketumpatan cecair (kg m-3) dan \(g\) = pecutan graviti.

Ciri-ciri Tekanan Dalam Cecair.
  • Tekanan bertambah dengan kedalaman cecair.
  • Tekanan bertambah dengan ketumpatan cecair.
  • Tekanan bertindak dalam semua arah
  • Tekanan tidak bergantung kepada bentuk atau saiz bekas.
  • Tekanan tidak bergantung kepada luas permukaan.
  • Tekanan pada dua titik yang sama aras adalah sama.

image
Tekanan bertambah dengan kedalaman cecair. Semakin dalam, semakin tinggi tekanan. Kedalaman diukur dari permukaan ke dasar. Berdasarkan rajah di atas, pancutan air dari lubang yang paling rendah adalah paling jauh. Ini menunjukkan bahawa tekanan air di titik yang semakin dalam adalah semakin tinggi.


image
Tekanan dalam cecair bertindak pada semua arah.

image
Tekanan tidak bergantung kepada bentuk atau saiz bekas. Ini adalah kerana tekanan cecair bertindak dengan nilai yang sama ke semua arah sehingga parasnya sama.

Aplikasi Tekanan Dalam Cecair.
1. Pembinaan Empangan. Empangan air dibina untuk memberhentikan pengaliran air dari sungai dan untuk membentuk tasik bagi bekalan air. Empangan air juga menggerakkan turbin untuk penjanaan elektrik.

Dinding pada dasar sebuah empangan adalah lebih tebal daripada yang di atas untuk menahan tekanan cecair yang lebih tinggi pada dasar empangan yang disebabkan perbezaan kedalaman cecair.
2. Sistem bekalan air umum.Air dari sungai atau empangan dipam ke dalam tangki yang terletak pada kawasan tinggi supaya mempunyai tekanan yang mencukupi untuk mengalir ke rumah-rumah yang berada pada paras yang lebih rendah.

Tangki air yang terletak pada bumbung rumah digunakan untuk menyimpan dan membekalkan air pada tekanan yang tetap.

3. Dinding kapal selam dibina dengan tebal dan dari bahan yang kuat untuk menampung tekanan cecair yang tinggi apabila kapal selam menyelam ke dasar laut.

4. Lain-lain:Pemindahan cecair ke badan pesakit menggunakan tekanan cecair yang digantung pada suatu kedudukan yang tinggi.

Balang mineral menggunakan tekanan dalam bendalir untuk membekalkan minuman air.

9 comments: